Wednesday 25 December 2013

Sepahit Amerikano.


 

 
    "Duduk di bawah salji sambil menikmati Amerikano yang hangat,"aku berbisik. Aku hanya tersenyum sendiri. Kemudian satu tamparan lembut hinggap di bahuku. Bayangan itu hilang. Aku menoleh sedikit wajahku terhadap insan itu. Dia tersengih.
    "Kamu berangan lagikah?"tanya insan tersebut. Aku pun tersengih. Lalu tertawa. Kurasakan wajahku menjadi bahang kerana malu. Aku sedang membayangkan caturan hidupku pada masa hadapan. Sudah pasti aku ingin merantau ke luar negara. Membuka beberapa buah cawangan kafe makanan Malaysia di beberapa buah negara. Sekaligus boleh menaikkan nama negara.
    "Adakah itu merupakan suatu masalah yang besar?" aku bertanya kepadanya. Dia menggelengkan kepalanya sambil tertawa kecil.
    "Bukankah cita-cita itu bermula dengan angan-angan?" tambahku lagi. Tidak berpuas hati. Itulah sifatku yang tak mahu beralah. Dia merenung tajam mataku. Aku cuba melarikan pandanganku daripada bertentangan dengan matanya yang kelihatan jernih.
    "Memang benar, Sara."katanya lembut. Dia berhenti seketika. Menyusun kata untuk berbicara."Namun, kamu haruslah sentiasa berusaha. Tanpa usaha, angan-angan kamu akan jadi angan-angan kosong sahaja," tambahnya.
    "Tapi, Arif..." aku ingin membidas apa yang dikatanya namun lidah ini kelu. Mungkin benar juga apa yang dia katakan. Dia sangat matang dalam memikirkan hal seperti ini. Kadang kala aku terasa kecil ketika berada di sampingnya. Arif merupakan kawan baikku sejak kecil lagi. Kami amat rapat sekali. Bagaikan bersaudara. Banyak perkara yang kami lakukan bersama-sama. Kami sering saling bantu-membantu terutama dalam hal pelajaran. Arif seorang yang bijak. Namun, Arif selalu mengatakan bahawa aku lebih bijak daripadanya.
    "Mari kita nikmati minum petang!" pelawa Arif sambil melambai-lambai tangannya ke arahku.
    "Tak mengapalah,"ujarku lalu bergerak ke pintu rumahnya. Namun dia segera menghalangku. Aku tercengang.
    "Kamu berkecil hati?"tanya Arif seperti dapat menebak sesuatu.
    "Tidak terlintas di fikiran saya,"jawabku bersahaja.
    "Kamu tidak perlu risau. Selagi wujudnya saya, saya akan selalu bantu merealisasikan impian kamu itu,"ujarnya. Aku memandangnya.
    "Itulah gunanya seorang sahabat bukan?"tanya Arif sambil tersenyum. Menonjolkan lesung pipitnya. Aku juga tersenyum. Dia mendepakan tangannya dan mengarahkan aku untuk masuk kembali ke rumahnya.
    "Mari makan,"pelawanya. Aku masuk kembali ke rumahnya lalu menuju ke dapur.
    "Mak Jah, minum petang hari ini apa ?"tanya Arif lalu meninjau ke dapur. Aku yang sedang memotong kek segera mengarahnya pergi ke meja makan. Mak Jah tersenyum melihat gelagatku dengan Arif.
    "Mak, jangan izinkan Arif ke dapur,"pintaku kepada ibuku iaitu pembantu rumah yang digelar Mak Jah.
    "Kamu tidak sepatutnya berada di sini,"ujarku dengan tegas. Dia merungut.
    "Kamu juga,"rungutnya perlahan.
    "Kamu anak majikan manakala saya pula anak pembantu rumah sahaja,"terangku."Saya tak layak makan dengan kamu,"tambahku lagi. Dia terdiam.
    "Di mata Allah kita adalah sama. Hanya iman kita sahaja yang dapat membezakan darjat kita di sisiNya,"terangnya. Kali ini aku pula yang terdiam. Benar juga.
    "Walaubagaimanapun, ini merupakan tugas saya,"kataku mengubah topik asal. Aku mengarahkannya untuk ke meja makan. Aku tertawa kecil. Sekarang siapa majikan dan siapa pembantu rumah?
Aku menghidangkan sebiji kek di atas meja. Riak muka Arif bertukar. Dia memandangku. Lalu tersenyum.
Dia kelihatan gembira.
   "Kek coklat!"Arif sedikit menjerit. Aku tertawa melihat gelagatnya. Aku duduk di sebelahnya.
   "Mari makan!"kataku. Aku megambil sepotong kek. Aku menjamahnya. Arif menikmati kek itu dengan penuh berselera. Sudah tentu ! Itu kek kegemarannya.
   "Sedap kek itu?"tegur suatu suara yang amat dikenali. Aku terus terbangun dari tempat dudukku. Menundukkan wajah menagih simpati bagai pesalah yang akan dijatuhi hukuman.
   "Da..Datin, boleh saya bantu?"tanyaku gementar. Arif hanya terdiam. Ya, itulah Datin Sharifah. Ibu kepada Arif.
   "Saya gajikan awak bukan untuk makan dengan anak saya,"katanya lembut tetapi begitu mendalam.
   "Maafkan saya, Datin,"pintaku dalam nada merayu.
   "Jangan marah dia, mama. Saya yang memintanya untuk menemani saya makan,"Arif membelaku. Datin Sharifah memandang anak lelaki tunggalnya itu.
   "Sudah tentu tidak, sayang. Sara sediakan manisan dan minuman untuk tetamu,"pintanya lalu melangkah keluar.
   "Baik, Datin!"kataku lalu bergerak ke dapur. Arif menunjukkan sedikit ibu jarinya ke arahku. Aku tersenyum kelat. Aku melakukan seperti yang diarahkan oleh Datin Sharifah. Aku menyediakan teh halia dan kek vanila kepada mereka. Aku meghidangkan kek dan minuman tersebut kepada tetamu. Lima orang kesemuanya. Pakaian mereka kelihatan sangat mewah. Aku melemparkan senyuman kepada mereka.
   "Adakah ini anak kamu, Sharifah?"tanya salah seorang daripada mereka. Datin Sharifah mengangkat sebelah keningnya. Lalu tertawa kecil.
   "Ini hanya anak pembantu sahaja. Tak mungkin anak saya berpakaian selekeh begini,"katanya lalu disambut dengan hilaian tawa mereka. Aku hanya terdiam lalu membuka langkah untuk bergerak ke dapur.
   "Sara, panggil anak saya!"laung Datin Sharifah. Aku mengangguk perlahan.
    Anak pembantu rumah. Memang layak gelaran itu diberi kepadaku. Di sekolah juga aku digelar begitu. Aku bersekolah di sekolah anak orang kaya. Peminta simpati diberi gelaran. Tapi, Arif sering membelaku dan dia akan memarahi orang yang sering menghinaku. Tiada siapa yang berani melawannya kembali. Pada mereka, Arif lagi berkuasa dan lebih kaya daripada mereka. Kadang kala aku rasa pelik dengan anak-anak orang kaya ini. Memandang darjat dan kuasa di dunia yang hanya sementara ini. Itulah lumrah. Namun, tiada apa yang mampu menghalangku untuk mencapai kejayaanku. Biarlah kutelan sedikit pahitnya tapi hasilnya akan manis jua.
   "Datin panggil kamu, Arif,"kataku bergerak ke dapur. Arif mengekoriku ke dapur. Riak wajah ingin tahu terserlah pada wajahnya.
   "Mama menghina kamu?"tekanya. Memang tepat. Namun aku menggeleng. Aku mencapai beberapa pinggan kotor untuk dicuci.
   "Datin tak akan tergamak buat begitu,"ujarku."Pergilah, mama kamu sedang menanti,"tambahku. Satu keluhan berat dapat kudengar. Arif bergerak ke ruang tamu. Aku terasa bodoh. Membela orang yang telah memalukanku. Penghinaan , dipermalukan dan dicaci. Mungkin aku sudah terbiasa bak kata pepatah alah bisa tegal biasa.
   
     Hari ini aku bangun awal seperti biasa bagi menolong ibuku. Menjadi suatu kewajipan bagiku menolong ibu. "Kerja sekolah kamu sudah siap?"tanya ibuku. Ibu memanndangku sambil tersenyum. Ibu seorang yang begitu perihatin. Ibu rajin bertanya tentang perkembanganku di sekolah. Mungkin baginya kejayaanku adalah perkara utama. Aku rasa bukan setakat ibuku sahaja namun setiap insan di dunia yang digelar ibu mahu melihat anaknya berjaya.
   "Sudah tentu, ibu! Jangan risau,"kataku dengan nada gembira. Kami membawa sarapan tersebut ke meja makan. Kulihat Arif sudah berada di meja tersebut.Dia menanti makanan untuk mengisi perutnya yang lapar. Aku menyusun makanan tersebut. Arif tersenyum gembira melihat makanan sudah terhidang di atas meja.
   "Mari makan dengan saya,"pintanya. Aku terkebil-kebil. Aku hanya menggeleng.
   "Yalah, mari makan dengan kami,"pinta suatu suara. Aku menoleh. Dato' Azman yang diiringi isterinya telah tiba di meja makan. Aku tersenyum lembut.
   "Tidak mengapa, saya sudah bersarapan. Saya terpaksa pergi dahulu,"ujarku.
   "Naik komuter lagi?"tanya Arif yang kelihatan terkocoh-kocoh mahu menghabiskan susunya. Aku menganggukkan kepala. "Sebentar,"tambahnya sambil menghabiskan susunya. Arif berlari mendapatkanku.
Datin Sharifah menjegilkan matanya. Manakala Dato' Azman hanya tersenyum.
   "Pak Mat boleh hantar kamu,"ujar Datin Sharifah yang kelihatan risau. Datin risau akan anaknya yang setiap hari menaiki kenderaan awam bersamaku.
   "Saya nak selamatkan alam sekitar!"laungnya sambil tersenyum. Dato' Azman tersenyum mendengar jawapan anak tunggalnya itu. Datin Sharifah mengeluh berat. Dia memandang suaminya sambil mengharap suaminya akan melakukan sesuatu supaya anaknya tidak menaiki komuter lagi.
   "Anak kita bijak kerana dia mahu membantu mengelakkan berlakunya kesesakan jalan raya dan sekaligus memelihara alam sekitar,"kata Dato' Azman bersahaja lalu menghirup teh susu. Datin Sharifah hanya tercengang.
    Aku hanya mendiamkan diri sepanjang perjalanan. Aku hanya menelaah nota kecil yang dibuat khas untuk mata pelajaran Kimia. Kadang kala aku perasan Arif memandangku. Mungkin dia bosan kerana tiada rakan untuk berbual.
   "Kamu ni rajin sangat sedangkan peperiksaan lama lagi,"katanya perlahan namun aku dapat menangkap setiap patah katanya. Aku hanya tersenyum dan meneruskan menelaah. Dia mengeluh perlahan.
   "Saya pelik sebab awak terlalu rajin belajar,"katanya lagi. Aku hanya mendiamkan diri. Fokus terhadap nota tersebut. Arif menjadi geram lalu merampas notaku. Aku terkesima. Dia memasukkan nota tersebut ke dalam kocek seluarnya supaya aku tidak dapat mencapainya.
   "Saya sedang bercakap dengan awak,"katanya dalam nada merajuk. Dasar anak manja!
   "Masa hadapan awak sudah lama terjamin manakala masa hadapan saya tiada siapa yang tahu melainkan Allah sahaja,"kataku. "Saya mesti dapatkan biasiswa itu,"tambahku lagi.
   "Selagi wujudnya saya, masa hadapan awak akan terjamin,"katanya penuh yakin. Aku tersengih. Arif, kau tidak tahu apa yang akan terjadi pada masa hadapan! Senang sahaja perkataan itu meluncur keluar dari mulut seorang perwaris syarikat perkapalan ini.
   "Buat masa ini tiada siapa yang dapat menjamin masa hadapan saya melainkan diri saya sendiri,"kataku. Arif tergamam. Aku menghulurkan tangan meminta notaku kembali. Dia menurut lalu menyeluk koceknya dan memberi nota tersebut kepadaku. "Maaf,"pintanya. Aku hanya mengangguk perlahan. Selang beberapa minit kemudian, kami tiba di lokasi. Kami hanya perlu berjalan beberapa meter sahaja untuk tiba di Sekolah Seri Utama. Kami tiba awal di sekolah. Hanya beberapa orang pelajar sahaja yang kelihatan. Tiba-tiba kami didatangi dua orang pelajar perempuan. Mereka tersengih-sengih seperti kerang busuk. Sudah tentu mahu meminta perhatian kami atau lebih tepat lagi, Arif.
   "Kamu berjalan kaki? Tak sakitkah kaki kamu?"tanya pelajar perempuan yang bertocang.
   "Tak pedihkah pancaran matahari?"tanyanya lagi sambil memandangku. Aku hanya mengerling. Malas mahu melayan perangai budak perempuan yang gedik ini.
   "Alya, tahu tak berjalan kaki bagus untuk kesihatan,"terang Arif. "Berjalan mampu mengurangkan kalori dalam badan. Awak ni mesti tak banyak berjalan sebab itulah badan awak nampak agak berisi,"tambahku pula. Alya dan kawannya tergamam. Dia menghentakkan kakinya tanda protes lalu meninggalkan kami.
   "Matahari pagi mengandungi Vitamin D!"laung Arif menambahkan kemarahan Alya. Kami tertawa puas. Kami bergerak ke kelas untuk mempersiapkan diri bagi memulakan proses pengajaran dan pembelajaran. Aku mengeluarkan IPad dan memeriksa status tugasanku.
   "Wah, kamu sudah siapkan tugasan yang Puan Intan berikan pada tempoh hari!"kata Arif sambil meninjau IPadku. Aku tersenyum bangga. Dia tersengih memerli.
   "Saya bukan nak riak tapi jawapannya mudah sahaja,"terangku sambil tertawa. Hanya gurauan sahaja dan Arif tahu itu.
   "Baiklah. Mari bandingkan jawapannya dengan saya,"katanya.
Beberapa minit kemudian, kelas 5 Sains 1 telah dipenuhi dengan pelajar. Seperti biasa, pelajar-pelajar perempuan sibuk menayangkan beg baru atau alat solek baru mereka. Keadaan kelas menjadi kecoh. Aku mengeluh perlahan. Tayanglah selagi boleh! Aku berbisik di lubuk hati ini. Aku membuka buku latihan Matematik Tambahan dan membuat sedikit latih tubi untuk menenangkan fikiran. Kulihat kepala Arif sudah melekat di atas meja. Tiba-tiba aku didatangi dua orang pelajar perempuan. Dia merampas bukuku lalu tertawa. Bangga mempermainkan aku! Aku memandangnya. Alya tersengih. Aku bangun dan merampas bukuku kembali. Dia tercengang.
   "Saya nak belajar bukan nak menayang barang-barang!"ujarku sambil memandang tajam ke dalam matanya. Alya terkejut akan kata-kataku.
   "Aku lupa. Dia tiada barang-barang mewah seperti kita,"katanya bangga.
   "Sekurang-kurangnya jika saya nak beli barang mewah, saya tidak akan beli barang yang palsu,"kataku setelah mendapati beg tangan Chanelnya itu palsu. Dia mengigit bibirnya. Pasti hatinya sedang terbakar. Aku tersenyum sinis.
   "Berani kau! Kau tu budak kebajikan sosial sahaja!"katanya separuh menjerit. Rakan sekelasku beralih memandang kami. "Kau tak layak berbicara sebegitu dengan budak kelas sosial!"tambahnya lagi. Dia mahu menghina aku lagi. Aku dapat lihat api kemarahan pada matanya. Ego orang kaya. Pantang dijentik terus melenting. Mungkin aku perlu menuang minyak ke atas api. Atau tidak ?
   "Ini bukan zaman fantasi seperti Cinderella, sentiasa akur dan diam apabila dipermainkan,"kataku bersahaja. Kemarahan Alya semakin membuak-buak bagai gunung berapi yang ingin meletus. Rakan kelasku hanya menyaksikan 'drama' kami ini. Mereka tidak mahu terlibat atau mereka sengaja mahu melihat aku dipermalukan oleh Alya sekali lagi. Maaf! Tapi kali ini tidak!
   "Kalau benar ini bukan zaman fantasi maka tiada pengakhiran yang gembira untuk kamu!"ujar Alya memberi amaran. Rakan kelasku yang lain mula bersorak. Arif terjaga dari tidurnya. Arif kelihatan bingung.
   "Saya sendiri yang akan cipta pengakhiran yang gembira itu,"kataku dengan penuh yakin. Mereka terdiam. Tiada sorakan yang kedengaran. Mungkin mereka tidak akan menyangka bahawa aku akan berkata seperti itu. Arif bangun dari tempat duduknya dan memandang tajam ke arah rakan-rakan sekelas. Mereka menjadi takut dan kembali ke posisi tempat duduk masing-masing. Arif memandang Alya yang masih berdiri tercegat di hadapanku. Arif mengerakkan kepalanya mengarahkan Alya kembali ke tempat duduknya. Alya akur.
     Rrrringg!
Loceng tanda permulaan sesi pengajaran dan pembelajaran telah berbunyi. Puan Intan masuk ke dalam kelas bagi memulakan pengajaran. Semuanya berjalan lancar. Aku menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap kelas. Aku malas dan tak mahu memikirkan kejadian sebentar tadi. Aku menganggap pergaduhan itu perkara yang tidak matang. Aku menarik nafas yang panjang lalu menghembuskannya. Mesti fokus! Aku menampar kedua-dua belah pipiku beberapa kali. Aku akan cipta pengakhiran yang bahagia itu. Aku yakin!


       Setelah dua masa dipenuhi, waktu rehat kini tiba. Pelajar-pelajar sekolah pasti berpusu-pusu pergi ke kafeteria. Aku bergerak ke tandas. Perut ini meragam pula.
   "Perempuan tu memang sengaja cari masalah!"kata suatu suara. "Aku benci dia!"katanya lagi. Aku mengamati suara itu. Pasti itu Alya. Sudah tentu dia mahu mengutuk aku. Aku mengambil keputusan untuk mendiamkan diri sahaja.
   "Arif sering membelanya!"ujar Amy, teman Alya yang sengaja ingin menambahkan kemarahannya. "Dia bagaikan lembu yang dicucuk hidung sentiasa akur akan Sara,"kata Alya sambil tertawa. Kali ini aku tidak boleh berdiam kerana dia telah memburukkan nama kawan baikku! Aku tidak peduli jika mereka mahu menghinaku tetapi mereka melibatkan nama Arif dalam hal ini. Aku tidak boleh biarkan. Aku mengambil keputusan untuk keluar dari tandas. Aku bergerak ke arah sinki. Alya tergamam. Kenapa terkejut? bisikku.
   "Mengapa tidak meneruskan perbincangan tadi?"tanyaku sambil tersenyum sinis. Alya terdiam. Dia dan temannya memandang sesama sendiri. Pasti lidah mereka kelu. "Saya beri amaran pada awak. Tolong jangan libatkan nama Arif jika awak mahu menghina saya,"tambahku memandang tepat ke arah matanya. Alya rasa tercabar. Dia kelihatan resah. Mungkin sedang memikirkan ayat untuk membidasku kembali. Aku akan menunggu.
   "Kau tak layak cakap begitu pada aku! Kau sedar siapa kau?"katanya dengan suara suara yang lantang. "Aku tak sangka orang miskin macam kau ni begitu murah sehingga Arif sentiasa membela kau!"katanya lancang. Aku terus menampar wajahnya. Aku naik berang kerana dia menggelar aku murah. Ya, aku miskin tetapi tidak akan sesekali aku menjatuhkan maruahku. Alya memegang pipinya yang merah. Matanya terbuntang. Jelas kelihatan api kemarahan meluap-luap bagai ledakan Gunung Merapi pada 8 Jun 2006.   "Kau!!"Alya menjerit dengan sekuat hati lalu dia menarik kolar bajuku dan menolakku. Aku cuba mempertahankan diri namun tidak berjaya kerana dia dibantu oleh rakannya. Bermulalah insiden bercakaran kami di dalam tandas itu.
   "Berhenti!"laung satu suara dengan lantang. Pergaduhan kami terhenti. Kami terus memandang ke arah suara itu. Dia sedang berdiri tercegat di hadapan tandas sambil bercekak pinggang. Oh tidak! Encik Faiz, guru disiplin.
    Aku menundukkan kepala. Aku memandang lantai bilik disiplin. Menanti hukuman yang bakal kuterima. Kulihat Alya dan Amy telah terlepas. Terlepas? Tapi bagaimana? Sudah tentulah wang. Alya berlalu pergi sambil tersenyum mengejek. Inilah lumrah kehidupan. Pencuri yang disabitkan kesalahan wang sebanyak RM500 dikenakan penjara selama  bertahun lamanya manakala penyeleweng duit yang melarikan duit jutaan ringgit dikenakan penjara hanya berapa tahun sahaja. Puncanya? Sudah tentu wang dan kuasa ! Kadang kala aku terfikir bahawa dunia ini tidak adil. Manusia menggunakkan kuasa dan pengaruh untuk menutup jenayah yang telah dilakukan. Tetapi, mereka harus ingat hukuman dunia mungkin boleh terlepas namun hukuman akhirat...
   "Kamu dengar atau tidak?"tanya Encik Faiz. Lamunanku lenyap. Aku terpinga-pinga. Encik Faiz mengeluh sambil menggelengkan kepalanya. Aku menundukkan sedikit kepalaku tanda maaf.
   "Kamu didenda mengutip sampah-sarap yang berada di sekeliling sekolah sebelum pulang,"ulangnya sekali lagi. Aku terkesima. Mulutku sedikit ternganga. Bukan tidak mempercayainya tetapi hukumanku terlalu ringan. Bukankah aku mungkin akan digantung sekolah?
   "Tapi mengapa hukumannya tidak terlalu berat?"tanyaku. Encik Faiz memandangku kehairanan. "Maksud saya bukankah saya sewajarnya dikenakan hukuman gantung sekolah?"tambahku lagi.
   "Kamu nak yang lagi beratkah?"tanyanya kembali. Aku menggeleng laju. "Kamu boleh keluar sekarang,"tambahnya. Aku mengucapkan terima kasih kepada Encik Faiz dan bergerak ke luar  bilik disiplin.
   "Kamu pelajar terpandai di sekolah. Tidak mungkin saya akan memburukkan keadaan kamu pula,"kata Encik Faiz dengan suara yang perlahan.

 
    Pada waktu petang itu, aku terpaksa pulang lewat kerana menjalankan dendaan yang dikenakan. Aku berjalan ke sekeliling sekolah untuk mencari sampah. Aku mengeluh. Apalah nasibku! Aku menampar mukaku. Aku tidak sepatutnya mengeluh. Anggap sajalah ini merupakan salah satu langkah untuk berjaya. Berjaya dengan mengutip sampah? Macam pelik bunyinya.
   "Sara!"tegur Arif dari belakangku. Aku terkejut. Plastik sampah yang berada di genggamanku tercampak. Sampah-sarap yang berada di dalamnya berterabur di atas lantai. Aku memandang Arif dengan pandangan yang tajam. Dia memahami pandanganku itu lalu mengutip sampah yang berteraburan di atas lantai dengan segera.
   "Maaf,"pintanya lalu memasukkan sampah-sampah tersebut ke dalam plastik sampah. Aku mengambil plastik itu dan meneruskan perjalanan mencari sampah. Arif mengekoriku. Aku memandangnya kehairanan.
   "Pergi baliklah,"pintaku sambil mengutip sampah. Dia menggeleng laju. Aku mengeluh "Nanti Datin risau,"tambahku. Dia tidak mempedulikan kata-kataku lalu mengutip sampah yang berada di hadapannya.
   "Ini hukuman saya,"kataku perlahan. Aku menjadi serba salah. Ini merupakan kesalahan aku. Aku saja yang layak menerima hukuman ini. Arif tidak sepatutnya terlibat dalam hal ini.
   "Terima kasih,"ucapnya tiba-tiba. Aku memandangnya kehairanan. "Sebab kamu mempertahankan nama saya,"tambahnya. Aku tersengih.
   "Itulah gunanya kawan,"kataku sambil menyikunya. Dia mengaduh kesakitan. Aku tertawa mengejek. Kami pulang ke rumah setelah hukumanku telah selesai dilakukan.
   "Mengapa kamu pulang lewat?"tanya Datin Sharifah yang sudah berdiri tercegat di hadapan pintu. Aku menjadi kalut.
   "Kami..." Aku tidak sempat menghabiskan ayatku lalu Arif mencelah. "Kami belajar secara berkumpulan di sekolah!"katanya sambil tersenyum. Datin Sharifah memandang anaknya lalu memandangku. Tepat ke arah mataku meminta kepastian. Aku mengangguk perlahan. Menyokong pembohongan Arif.
   "Baguslah, dua bulan akan datang kamu bakal menghadapi SPM,"katanya dan berlalu pergi. Arif tersengih. Aku menggelengkan kepala aku. Tahniah kerana telah berjaya menipu ibu sendiri, Arif!
    Pada malam itu, aku dan Arif belajar bersama-sama di bilik belajar. Kami membuat ulangkaji pelajaran yang kami belajar di sekolah tadi. Inilah rutin harian kami. Kami saling membantu meyelesaikan masalah dalam beberapa subjek. Arif pakar dalam mata pelajaran Kimia. Oleh itu, aku sering merujuk kepadanya jika aku mempunyai masalah untuk menjawab. Arif pula selalu merujuk kepadaku apabila dia mempunyai masalah untuk menyelesaikan soalan Matematik Tambahan. Arif selalu mengatakan bahawa aku seorang yang bijak lebih-lebih lagi dalam mata pelajaran tersebut. Aku rasa biasa-biasa sahaja.
   "97% markah dalam Matematik Tambahan itu biasa-biasa sahaja?"tanya Arif kehairanan. Aku mengangguk sambil menghirup Amerikano buatan ibu. Rasanya agak pahit tapi aku dapat merasai kenikmatan kopinya. Kehidupan aku mungkin bagai Amerikano ini. Terpaksa menghadapi pelbagai dugaan hidup. Pahit rasanya. Namun pasti ada kemanisannya jika aku berusaha untuk menambah gula. Hidup ini biarlah bersusah dahulu bersenang kemudian. Tapp! Arif mengetuk meja belajar. Lamunanku terhenti. Aku membuat muka bersahaja. Takut ditertawakan kerana aku termenung sebentar sebentar tadi.
   "Saya mahu markah penuh dalam Matematik Tambahan,"kataku lalu menghirup titisan terakhir Amerikano. Kata-kataku membuatkan Arif tercengang. Dia menggelengkan kepalanya. Tidak mempercayai dengan kata-kataku. Aku tersengih. Aku terus mencapai buku latihan Biologi. Aku tidak sabar menanti peperiksaan SPM. Kedengaran aneh bukan? Pelajar-pelajar lain pasti terasa berdebar untuk menghadapi SPM. Ya, aku tidak sabar mahu menunjukkan kejayaanku kepada ibu.


   Waktu berlalu bagai air sungai yang deras. Aku dan Arif telah berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan kami boleh menunjukkan prestasi yang cemerlang. Pada hari ini, kami akan menghadapi Peperiksaan Percubaan SPM. Aku dan Arif bersiap awal untuk ke sekolah.
   "Ibu, doakan Sara mampu menjawab semua soalan dengan cemerlang."kataku sambil menyalam tangan lembut ibu lalu mencium kedua belah pipinya.
   "Baiklah,"ujar ibuku lembut. Aku mencapai beg Converseku dan mula bergerak untuk pergi ke sekolah. Arif mengekoriku sambil tersenyum. Aku tersenyum jua. Kami kelihatan bersedia untuk pergi berperang.
   "Kamu sudah bersedia?"tanyaku kepada Arif. Dia mengangguk laju.
   "Mestilah,"katanya dengan penuh bersemangat. Kami menaiki komuter seperti biasa. Arif membaca notanya. Aku pula hanya mendiamkan diri sambil mendengar pemain lagu. Dia melihatku kehairanan. Aku perasan yang dia memandangku dengan riak wajah ingin tahu.
   "Adakah hidung saya terbalik?"tanyaku dalam nada gurauan. Dia segera menoleh ke tempat lain. "Kamu mesti tertanya-tanya mengapa saya langsung tidak membuka buku atau nota,"tekaku dalam nada bersahaja. Mata dia membulat sambil tersenyum lalu dia mengangguk.
   "Ini merupakan salah satu cara saya untuk menghilangkan rasa gopoh dan gementar saya. Cuba bayangkan jikalau saya gementar, buku atau nota pasti saya akan baca dalam keadaan tertekan. Kesudahannya saya boleh terlupa kebanyakan perkara,"terangku sambil tersenyum. Arif ternganga. Kemudian dia menutup notanya lalu meminta untuk mendengar bersama-sama. Kami menyepi sebentar sambil menghayati lagu Bahagiamu Deritaku nyanyian Hafiz.Kadang-kadang kepala kami bergerak ke kanan dan kiri. Beberapa orang awam yang berada berdekatan tersenyum-senyum melihat gelagat kami.
   "Kita tiba di sekolah awal hari ini!"kata Arif sambil menjerit girang setelah tiba di hadapan pagar Sekolah Seri Utama. Aku tertawa kecil.
   "Bukankah kita memang pelajar yang selalu datang awal ke sekolah,"kataku mematikan kegirangan Arif.
   "Sesekali mahu menyambut kedatangan sendiri,"kata Arif sambil mencebik bibir. Kami bergerak ke kelas. Kemudian aku pergi ke tandas. Tiba-tiba aku ternampak Alya dan Amy sedang berbisik sesama mereka di dalam tandas. Aku tidak dapat menangkap kata-kata mereka kerana mereka berbisik terlalu perlahan. Aku berasa tidak sedap hati dalam hal ini.
   Jam tepat menunjukkan pukul 8.30 pagi dan pelajar-pelajar telah berada di tempat duduk masing-masing. Kimia Kertas Satu telah diagihkan. Pelajar kelihatan gementar setelah menerima kertas soalan Kimia ini.
   "Baiklah kamu boleh mulakan menjawab sekarang,"ujar Encik Faiz. Aku membaca Basmallah sebelum membuka kertas soalan Kimia. Aku meneliti setiap soalan dengan berhati-hati. Tiba-tiba aku terasa ada sesuatu yang terlekat di bawah mejaku ini. Aku mengeluarkannya. Mataku terbuntang melihat benda itu merupakan skema jawapan soalan Kimia ini. Tapi bagaimana?
   "Encik Faiz, Sara meniru semasa peperiksaan!"ujar Alya separuh menjerit. Pelajar-pelajar yang lain segera memandang ke arahku. Tak guna! Aku telah difitnah. Aku hanya mampu tercengang sahaja. Aku mahu membidas kata-katanya namun tidak terdaya. Encik Faiz berjalan ke arahku. Dia mengambil skema jawapan yang berada di tanganku.
   "Sa..saya tak lakukannya,"kataku gementar. Aku gementar untuk melihat wajah Encik Faiz. Encik Faiz memandang tajam ke arahku. Aku menggeleng perlahan. Kulihat Alya sedang tersenyum mengejek lalu dia berkata, "Bukti sudah jelas jadi kamu..."
   "Kamu senyap dan terus menjawab!"arah Encik Faiz dengan suara yang tegas. Alya terdiam lalu memandang kertas soalannya.
   "Sara, ikut saya ke bilik disiplin!"perintah Encik Faiz sambil mengambil kertas soalanku. Aku mengigit bibir. Aku berpaling ke arah Arif. Dia memandangku lalu mengangguk. Mungkin dia tahu bahawa aku tidak bersalah dalam hal ini. Aku menyegerakan langkahku untuk mengejar Encik Faiz. Beberapa langkah kemudian, kami tiba di bilik 'neraka' yang ditakuti semua pelajar sekolah ini. Encik Faiz menjemputku duduk berhadapan dengannya. Ya, aku mesti berani! Berani kerana benar, takut kerana salah. Aku tidak melakukan sebarang kesalahan. Ini semua propaganda sahaja!
   "Encik Faiz, saya tak..."
   "Saya tahu,"Encik Faiz segera mencelahku. Aku terpinga-pinga. Encik Faiz memandangku. Dia menarik nafas dalam-dalam lalu menghembuskannya kuat. Dia menceritakan kejadian sebenar kepadaku. Aku hanya ternganga setelah mendapat tahu kejadian yang sebenar. "Alya  sanggup mengupah orang lain untuk mencuri skema jawapan. Saya tak sangka dia akan memerangkap kamu,"luah Encik Faiz dalam nada yang kesal.
   "Kamu boleh teruskan menjawab soalan di sini,"kata Encik Faiz lalu keluar daripada bilik disiplin. Aku membuka kertas soalan Kimia dan terus menjawab. Pada waktu rehat, aku segera bergerak ke kelas. Semasa perjalanan ke kelas, aku hanya diperhatikan oleh pelajar-pelajar sekolah. Aku mengerling ke kiri dan ke kanan. Ada yang berbisik sesama sendiri sambil memandangku. Ah, pedulikan itu semua! Aku tidak bersalah. Aku memandang ke hadapan. Alya dan Amy sedang berdiri memerhatikanku sambil berpeluk tubuh.
   "Inilah budak yang paling terpandai di sekolah kita. Ternyata dia pandai sebab meniru semasa peperiksaan!"kata Alya sambil menuding jari ke arahku. Aku hanya memandang tajam. Pelajar-pelajar yang lain mula mengerumuniku.
   "Adakah ini pelajar yang sekolah kita banggakan?"tanya Amy lalu menolakku. Mereka yang berada di sekelilingku juga mula menolakku. Ada yang memukulku. Kuku tajam mencakar pipi ini. Perih rasanya! Aku meronta namun tidak berdaya. Ya Allah, bantulah hambaMu ini! rintihku.
   "Berhenti!"Encik Faiz bersuara lantang. Mereka tersentak lalu menghentikan perbuatan mereka. Arif segera mendapatkan aku. Kulihat Encik Faiz bersama dua orang pegawai polis yang berdiri di sebelahnya.
   "Tangkap mereka!"kata Encik Faiz sambil menuding jari ke arah Alya dan Amy. Mata mereka terbuntang. Pegawai polis tersebut terus menggari Alya dan Amy. Mereka meronta-ronta.
   "Kami tidak bersalah, Encik Faiz!"kata Alya sambil meronta-ronta.
   "Pencuri yang kamu upah untuk mencuri skema jawapan Kimia telah membuat pengakuan,"kata Encik Faiz dengan suara yang tegas. Alya tergamam. Mereka terus diheret ke dalam kereta peronda. Pelajar-pelajar yang lain terkesima. Mereka seolah-olah tidak mempercayainya. Encik Faiz memandang mereka.
   "Adakah ini cara kamu menghukum orang tanpa usul periksa?"tanya Encik Faiz. Mereka menundukkan kepala. "Balik ke kelas kamu sekarang!"arahnya dengan lantang. Bertempiaran mereka berlari ke kelas masing-masing. Aku tertawa kecil melihat gelagat mereka.
   "Pipi kamu cedera,"kata Arif. Aku memegang pipiku. Ah! Aku mengaduh kepedihan. Arif segera memberiku pembalut luka.
   "Terima kasih, Arif,"ucapku lembut. Aku memandang Encik Faiz. Aku tersenyum.
   "Terima kasih, cikgu!"


   Hari-hari Peperiksaan Percubaan SPM telah kulalui dengan lancarnya. Semenjak kejadian itu, aku merasakan pelajar-pelajar sekolah ini semakin menghormatiku. Ya, menghormatiku sebagai salah seorang pelajar. Sama seperti mereka. Jikalau mereka lakukan ini dari awal lebih baik. Tiada hasad dengki dan iri hati. Pasti sekolah ini akan aman. Tiada pembulian dan tiada dibuli.
  Hari ini merupakan hari keputusan Peperiksaan Percubaan SPM akan dikeluarkan. Aku dan juga pelajar-pelajar yang lain menanti di kelas. Perasaan gementar, cemas dan takut bercampur. Itulah yang aku dapat lihat dari riak wajah setiap pelajar. Aku hanya duduk dengan tenang. Berselawat dan berzikir yang hanya mampu kulakukan. Aku sudah buat yang terbaik. Ibu, saya pasti akan buat ibu lebih gembira! bisikku. Puan Intan melangkah masuk ke dalam kelas. Arif selaku ketua kelas memberi salam kepada Puan Intan.
  "Saya akan mengumumkan keputusannya!"kata Puan Intan sambil tersenyum. Beliau mengeluarkan dua slip keputusan yang pertama.
  "Mereka memperolehi keputusan 10 A+ dengan purata GPS yang paling tinggi di sekolah!"ujar Puan Intan sambil mengangkat dua slip tersebut. Ada dua orang yang memperolehi keputusan yang sangat cemerlang. Pelajar-pelajar yang lain segera berpaling ke arahku dan Arif. Mereka seolah-olah dapat meneka gerangan yang mendapat keputusan yang cemerlang itu.
  "Mereka ialah Arif bin Dato' Azman dan Tan Swee Lan!"laung Puan Intan sambil bertepuk tangan. Aku tergamam.Aku kelu. Hati ini bagai kaca terhempas ke batu. Tidak mampu berkata-kata. Aku membatu. Aku mengenggam buku limaku. Kakiku mengigil. Aku memandang Arif  dan Swee Lan mengambil slip keputusannya. Arif tersenyum kelat sahaja sambil memandangku. Tak mungkin! Pasti ada kesilapan. Tapi mengapa?
   Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Kelihatan tenang sahaja cuaca hari ini. Namun tidak bagiku. Aku duduk di perhentian bas berjam lamanya. Sudah banyak bas yang berlalu pergi. Tiada satu pun yang kunaiki. Sekolahku sudah lama menyepi. Aku memandang kosong slip keputusanku. 8 A+ sahaja? bisikku. Tapi mengapa? Di manakah kesilapannya? Bukankah aku sepatutnya mendapat keputusan yang cemerlang? Sama seperti Arif.
   "Ternyata kamu ada di sini!"tegur suatu suara. Ya, dia ialah Arif bin Dato' Azman. Aku masih menunduk. Aku tidak mahu memandangnya. Aku terlalu malu untuk mengangkat wajah ini. Malu kerana gagal membuktikan bahawa anak pembantu rumah ini mampu berjaya.
   "Tahniah, kamu pun hebat juga!"katanya untuk menenangkan hatiku. Kata-katanya bagai menambah garam ke lukaku bukan untuk menyenangkan hati ini. Pedih! Sakitnya Tuhan sahajalah yang tahu. Aku mengerling ke arahnya. Dia menelan air liur. Kelihatan gerun melihat wajahku. Dia menghulurkan secawan kopi kepadaku. Aku mengambilnya lalu meneguk kopi itu. Pahit rasanya. Pasti ini Amerikano. Aku terus mencampakkan kopi tersebut. Kopi tersebut tertumpah. Arif terkejut melihat perbuatanku. Lantas aku bangun.
   "Hidup saya dah pahit jadi kamu tidak usahlah menambah kepahitan itu!"kataku dengan keras. Aku mengenggam buku limaku dengan ketat. Arif terkedu.
   "Sara, usahlah kamu risau. Saya akan bantu kamu untuk berjaya. Percayalah!"kata Arif dengan yakin.
   "Saya tidak perlukan bantuan sesiapa. Saya mahu berjaya dengan usaha saya sendiri!"kataku. Mataku sudah mula berkaca. "Saya mahukan biasiswa itu dan mahukan masa depan yang gembira dengan hasil usaha saya sendiri!"tambahku lagi. Air mata yang sudah lama bertakung ini akhirnya jatuh jua. Aku terjelepok ke tanah. Aku menangis semahu-mahunya. Arif duduk di hadapanku. Dia menangis jua. Tak! Kau tak tahu apa-apa tentang kesusahan aku! Aku terus bangun.
   "Arif, Kamu tidak usahlah menunjuk lagak seperti kamu memahami aku!"bentakku lalu berlari ke arah jalan raya. Aku tidak menyedari perkara yang aku lakukan. Sebuah kereta berpacuan empat roda meluncur laju ke arahku. Hon yang kuat berbunyi. Dentuman kuat kedengaran. Cecair merah pekat berpancuran di atas jalan raya. Aku terkedu. Aku tergamam. Aku terkelu. Mataku terjegil bagai mahu terkeluar. Sekujur tubuh yang amat kukenali sedang terbaring di atas jalan raya. Kini dia sudah tidak bergerak lagi. Aku goyangkan badannya berulang kali. Tiada sahutan. Aku memangku kepalanya. Darahnya yang pekat terkena baju sekolahku. Jangan mati! Tolonglah!bisikku
   "ARIF!"

   Aku meneliti surat ini. Kubacanya berkali-kali setiap kali aku rindu akannya. Sahabat dunia akhiratku;

     Assalamualaikum wahai sahabatku Sara binti Adam,

  Ini merupakan nukilan khas untuk sahabatku yang sudah lama berjuang bersama-samaku.Kita sudah menghadapi pelbagai kesusahan dan kesenangan bersama.Semasa ayah kamu meninggal dunia, saya terpaksa mengambil masa seminggu untuk menenangkan kamu. Kamu begitu sedih sehingga tidak berselera untuk makan.Saya terpaksa menyuapkannya untuk kamu.Ingat lagikah kamu? Apabila saya dibuli di sekolah semasa Darjah Tiga,kamu sering melindungiku.Kamu sanggup bergaduh dengan mereka semata-mata untuk memastikan saya selamat.Namun kamu tidak perlu risau.Kini saya sudah kuat.Oleh itu,sudah tiba masanya saya melindungi kamu,Sara.

  Ini merupakan hadiah saya untuk kamu.Terimalah biasiswa ini.Saya tak memerlukannya.Kamu lebih berhak menerimanya.Teruskan perjuangan walaupun jika saya sudah tiada di sisi kamu. SAYA SAYANG KAMU, SAHABAT DUNIA AKHIRATKU.

     Kulipat surat ini. Terdapat kesan kopi pada surat ini. Pasti dia tergesa-gesa sehingga tertumpah sedikit kopi. Baunya pun seperti bau kopi yang amat kukenali. Ya, Amerikano. Ya Allah, aku sangat merindui sahabatku ini. Aku memejamkan mata. Merungkai kembali kenangan pahit dan manis kami.
   "Cik Sara,"tegur suatu suara. Mematikan lamunanku. Aku memandangnya. "Mesyuarat akan bermula sekarang,"bisiknya kepadaku. Aku bangun dan terus bergerak ke bilik mesyuarat. Aku melangkah masuk. Mereka semua berdiri  memberi hormat.
   "Baiklah, saya akan bentangkan usul saya,"kataku sambil mendaftar masuk ke dalam komputerku.
   "Kita akan buka lagi beberapa cawangan kedai kopi di sekitar bandar Kuala Lumpur. Penciptaan beberapa jenis air kopi perlu dipercepatkan,"kataku dengan yakin."Berapakah keuntungan di daerah Klang?"tanyaku kepada Pegawai Ekskutif Kewangan.
   "Kita ada lebih kurang lima cawangan di sana dan keuntungan yang diperolehi melebihi RM4.5 juta,"katanya."Jika keuntungan kita berterusan begini, saya yakin kita akan dapat membuka cawangan di luar negara juga,"tambahnya dengan yakin.
   "Memang itulah rancangan saya,"kataku. Ya, memang ini rancangan aku sejak 11 tahun yang lalu. Namun, aku terpaksa melakukannya sendiri tanpa Arif di sisi.

  Teruskan perjuangan walaupun jika saya sudah tiada di sisi kamu.

Aku akan berusaha demi mencapai kejayaan itu. Aku yakin dengan diri ini selagi Arif memberi kepercayaanya kepada aku.

Wednesday 27 November 2013

Manusia Alpa

 
Manusia,
kita mahluk Tuhan yang diberi suatu amanah untuk dipikul dan dijaga
namun mana pergi janji manismu untuk menjadi khalifah di muka bumi ini,
kini hanya mampu melihat sahaja bagai tiada mulut untuk berbicara menegur kemungkaran
yang menular di bumi ini umpama suatu virus tanpa penawar

sedarlah bahawa bumi Tuhan ini bukanlah selama-lamanya milik kita,
namun ada juga si tolol yang bebal mengakui bahawa bumi ini milik mereka,
kita hanya mampu ternganga sahaja dengan membiarkan kekejaman tanpa kasihan berlaku,
mereka yang ditindas meraung, memekik, menangis meminta simpati

Cis, manusia bedebah !
Mereka sangka mereka berkuasa !
Mereka sangka mereka Tuhan !

Namun mereka tidak sedar kewujudan Tuhan yang Maha Berkuasa,
Tuhan bisa tarik nyawa mereka kapan sahaja

Bukalah mata,
Lapangkan minda

Bumi ini sudah tua,
Tidak berdaya menampung beban dosa manusia,
hanya tinggal untuk musnah sahaja dengan satu tiupan sangkakala